Isnin, 10 November 2008

KELAHIRAN oleh: Faradi Rohani (adydukabertautsepi)



Oleh: Faradi Rohani (adyduka bertautsepi)

Suasana hening dan sepi di sekitar lobi menunggu wad bersalin menggungkapkan seribu satu persoalan yang menerawang dalam setiap benak individu yang merasainya. Yang hanya kedengaran mainan- mainan kencang degupan jantung dalam rentak semujadi sifat setiap jasad talkala dirudum gelodak perasaan. Abg Hazri yang dari tadi mundar mandir kelihatan begitu resah menunggu kak Sya yang sedang bertarung nyawa dalam pergelutan melahirkan anak sulung mereka. Manakala mak cik Ros iaitu ibu kepada kak Sya tidak henti- henti membaca doa agar segala urusan dan agenda yang telah ditakdirkan olehNya pada hari itu berlangsung dengan selamat.

Tiba- tiba pintu bilik bersalin itu dikuak oleh seorang ketua jururawat. Melihatkan mimik mukanya yang bersahaja menyebabkan abg Hazri terus meluru mendapatakan ketua jururawat itu untuk bertanya tentang keadaan isteri dan anaknya.

“Tahniah encik, alhamdulillah isteri encik selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.08 paun dan keadaan mereka berdua selamat”.

“Ye ke Puan!!? Syukur alhamdulillah.”

Secara tiba- tiba abg Hazri telah membuat sujud syukur memanjatkan kesyukuran di atas segala pemberian dariNya.

“Sekarang encik bolehlah masuk untuk mengazankan bayi encik, disana isteri dan anak encik ditempatkan.

Setelah memberitahu mak cik Ros, mereka bergegas dengan langkah seribu ke tempat tersebut dan ternyata abg Hazri dan mak cik Ros begitu teruja menyambut kedatangan ‘orang baru’ itu.

Abg Hazri beberapa kali mengucup dahi kak Sya sambil mengucapkan rasa kesyukuran dan kegembiraannya setelah memiliki zuriat sendiri.

Dalam alunan azan terhadap anaknya itu, suara abg hazri tersekat-sekat menahan tangisan kegembiraan dan kesyukuran terhadap ketetapan yang telah diagendakan oleh Allah S.W.T.

************************************

Keesokkan harinya kak Sya dibenarkan pulang bersama- sama bayinya. Dalam perjalanan pulang itu kak Sya sempat bertanyakan kepada suaminya tentang pemberitahuan kelahiran anak mereka kepada adik kesayangannya iaitu Radi yang pada ketika itu sedang menuntut di Universiti Sains Malaysia.

“Semalam abg tak sempat nk call la yang, yelah semuanya kelam kabut je. Maafkan abg ye sayang.”

“Tak pe lah, Sya faham, biar Sya saja yang telefon. Bak sini handphone abg.”

Sejurus tiba di rumah, mak cik Ros dan adik- adik Sya begitu girang menyambut kedatangan tetamu baru itu, bermacam-macam pendapat mereka berikan tentang raut wajah bayi itu. Ada yang mengatakan secara keseluruhannya wajah bayi itu seiras abg Hazri dan ada pula menyatakan yang sebaliknya.

Petang itu, Radi pulang ke kampung dengan penuh kecerian dan ternyata dia juga begitu teruja ingin memeluk anak saudara pertama itu. Berbagai- bagai hadiah dibelikan untuk anak saudara kesayangan itu. Mak cik Ros, kak Sya, abg Hazri dan adik- adiknya tergelak besar melihat gelagat Radi yang begitu bersemangat menyambut kedatangan bayi yang di beri nama Mohd Syazani Aqwa itu.

“Radi, macam mana dengan kuliah kau? Kau balik ni mesti ponteng kuliahkan?”.

“Eh! mana ada long, hari ni kan hari jumaat, untuk semestar ni Di memang tak ada kuliah dan tutorial pada hari Jumaat. Sabtu dan Ahad memang dah cuti. Hari Ahad malam nanti Di balik la. Tak tahan la Long nak tengok anak Along yang comel ni”.

Untuk tempoh tiga hari itu, Radi banyak membantu ibu dan abg iparnya menguruskan kakak dan anak saudaranya itu. Pelbagai pengalaman baru yang dikutipnya dalam menguruskan mereka berdua. Yang paling membuatkan Radi begitu teruja untuk membantu ialah sewaktu hendak memandikan bayi. Mungkin sebelum ini Radi hanya mampu melihat di kaca television tapi kali ini dia sendiri dapat merasainya. Selain itu Radi juga terlalu seronok ketika diberi tugasan memberi susu botol kepada anak saudaranya itu. Ternyata pada permulaannya Radi begitu takut hendak memegang bayi yang kecil itu.

Tempoh tiga hari bersama keluarga sememangnya dirasakan terlalu singkat oleh Radi, namun dia akur dengan tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar yang perlu dilaksanakan dengan penuh kesabaran dan kesungguhan. Pada malam itu Radi telah pulang ke USM. Sebelum pulang, Radi sempat mencium berkali- kali anak saudara kesayangannya itu. Entah mengapa dia dapat merasakan akan berlaku sesuatu pada bayi kecil itu dan pada malam itu juga Radi terlalu sebak untuk berjauhan dengan anak saudaranya. Namun, desakan waktu yang berjejeran menongkah masa membuatkan Radi tunduk pada ketentuan takdir yang telah diagendakan buatnya.

***********************************

Hari demi hari waktu terus berkejaran dalam memenuhi aturan yang telah termampat dalam lingkaran waktu yang tertakdir. Sudah seminggu Radi berada di kampus meneruskan perjuangannya sebagai seorang mahasiswa dan kebetulan pula pada waktu itu sudah seminggu dia melaksanakan rukun Islam yang ketiga.

Pada pagi Rabu, tepat jam 5.00 pagi Radi dikejutkan dengan panggilan telefon daripada adik perempuannya Anis. Butiran kata- kata Anis tidak jelas dan sukar difahami akibat esakan tangisannya namun yang jelas dan nyata Anis mengatakan anak saudaranya telah dikejarkan ke hospital besar Tengku Ampuan Zaharah Kuala Terengganu akibat sesak nafas dan paling menyesakkan sukma Radi, Anis mengatakan anak saudaranya sudah kaku dan tidak bergerak lagi sebelum dikejarkan ke hospital. Begitu kecam berita yang diterimanya itu dan membuatkan Radi menangis teresak- esak. Radi terus berwuduk dan mengerjakan solat sunat Taubat, Tahjud dan solat sunat Hajat untuk memohon keselamatan dan menghindarkan dari sebarang bala musibah dariNya.

“Hello, Radi, anak Along dah tiada, dia telah pergi meninggalkan kita semua.”

“Ya Allah, A..AAA... AA...Along, banyakkan bersabar Long, mungkin Allah lebih sayangkannya.” InsyaAllah Radi cuba dapatkan tiket pulang pada pagi ni.”

Radi memutuskan panggilan dengan nada yang sangat menyayukan dan dia bersegera mengemaskan pakaian untuk pulang ke kampung. Meskipun jadual kuliahnya padat pada hari itu, namun dia tetap dengan penderiaan untuk pulang ke kampung. Baginya biarlah kepulangannya sedikit sebanyak dapat mengubat kelukaan hati Along kerana Radi merupakan seorang adik yang terlalu rapat dengan Alongnya. Tempoh perjalanan selama lapan jam sememangya begitu lama untuk dilangsaikan. Mayat anak tersebut terpaksa dikebumikan tanpa menunggu ketibaan Radi. Radi akur dengan situasi itu. Setiap masa sepanjang perjalanan itu, mulut Radi tidak henti- henti membacakan ayat- ayat suci al- Quran buat kesejahteraan arwah anak saudaranya itu. Arwah anak saudaranya itu telah dikebumikan ditanah perkuburan kampung halaman ayahnya di kampung Pulau Rusa berdekatan juga dengan rumah Radi.

“Alongggggg!!! Mengapa semua ni boleh berlaku Long, mengapa begitu sekejap dia hadir dalam hidup kita”.

“Di, mungkin ini ujian untuk kita semua, Along redha atas pemergianya”.

Mereka berdakapan dengan penuh erat bertemankan butiran air mata yang begitu deras membanjiri kulit-kulit pipi mereka. mak cik Ros, abg Hazri, adik- beradik Radi serta tetamu yang hadir turut menitiskan air mata melihat keadaan mereka berdua. Suasana begitu sayu dengan esakan tangisan mereka berdua.

“Along, malam ni, Radi nak tidur sebelah Along ye?. Radi nak teman Along”.

Along hanya mengangguk dengan senyuman yang hambar. Sememangnya dari kecil lagi hubungan Radi dan kak Sya begitu akrab mungkin kerana jarak umur mereka yang tidak begitu jauh. Mereka juga sering bertukar- tukar masalah dan berkongsi suka duka bersama. Meskipun mereka berdua mempunyai ibu yang berperanan sebagai tempat rujukan dan berkongsi masalah namun bagi mereka berdua, mereka lebih senang berkongsi dan menyelesaikan masalah bersama. Bukan kerana mereka tidak menyukai dan menyayangi ibu tetapi mereka sebenarnya lebih menghormati dan tidak mahu membebankan ibu dengan pelbagai masalah lebih- lebih lagi sudah banyak pengorbanan yang dicurahkan oleh ibunya sejak bergelar ibu tunggal kepada mereka semua.

Pada malam itu, sebelum Radi tidur, dia sempat membantu kak Sya bertungku. Sungguh pilu melihat kak Sya yang tidak henti- henti menangis mengenangkan anaknya. Sudah puas abg Hazri memujuk dan membelai kak Sya agar bersabar di atas ketentuan Illahi. Akhiranya kak Sya tertidur dalam belaian suaminya. Radi yang ternyata begitu sebak melihat suasana sebegitu cuba berusaha untuk tidak menitiskan air mata di hadapa Kak Sya. Dia tidak mahu kak Sya terus bersedih di atas perkara yang telah berlaku. Namun Radi tetap meluruhkan manik- manik jernih ketika menukui kak Sya yang telah terlena dalam kesedihan. Dia tidak sanggup melihat kak Sya terus begitu. Baginya apa yang kak Sya lalui pada ketika itu terlalu besar untuk ditanggung olehnya. Sudahlah ini merupakan kali kedua kak Sya kehilangan anak setelah kandungan pertamanya keguguran setahun yang lalu. Malah sepanjang mengandungkan arwah anaknya itu kak Sya mengalami pelbagai masalah yang teruk antaranya diserang kudis buta yang serius, alahan yang terlampau teruk sehinggakan membuatkannya selalu pensang dan yang paling menyedihkan bayi yang dikandungkan begitu lama menghuni di dalam rahimnya kerana ramalan jangka masa yang ditetapkan tidak menunjukkan tanda- tanda kak Sya untuk melahirkan anak sehinggakan kak Sya terpaksa berkurung lama di dalam wad serta terpaksa dimasukkan ubat melalui beberapa kali suntikan untuk memudahkannya melahirkan anak. Sungguh besar pengorbanan, cabaran dan takdir yang telah ditetapkan buatnya.

Pada hening dinihari itu, semasa Radi dan keluarganya bersahur, tiba- tiba elektrik terpadam. Suasana menjadi riuh seketika. Namun yang paling menyedihkan terdengar sayup- sayup suara kak Sya memanggil- manggil nama abg Hazri yang pada ketika itu sedang memasang pelita di satu sudut di dapur. Radi yang pada ketika itu sedang sibuk membantu mak cik Ros menyediakan juadah terus mendapatkan kak Sya dan memeluknya erat-erat.

“Along, sabarlah. Tak baik along terus macam ni. Perkara yang lepas biarlah berlalu, tak usah dikenangkan lagi, biarlah arwah tenang di sana Long, tidak ada guna Along terus begini, yang dah pergi takkan kembali lagi.”

“Along tak sanggup berpisah dengan arwah, begitu susah dan peritnya Along melahirkannya tapi terlalu cepat dia meninggalkan Along. Ibu mana yang tidak sedih dengan kehilangan anaknya.”

Radi membiarkan saja kak Sya melepaskan tangisan kesedihan itu. Dia akur dan faham dengan perasaan yang dialami oleh kak Sya. Baginya, kematian anak yang dikandung dan dilahirakn dengan penuh kesukaran sememangya satu perkara yang begitu sukar untuk diluput dalam jangka masa yang singkat.

Pada pagi itu, Radi sempat melihat abg Hazri memerah susu dari payudara kak Sya yang membengkak akibat tiada lagi bayi untuk disusukan. Setelah itu payudara kak Sya ditekup dengan menggunakan beberapa keping sayur Kubis dan dibalut dengan dengan beberapa helaian kain yang bertujuan untuk menyekat pengaliran air susu daripada terus keluar. Kak Sya dan abg Hazri saling menitiskan airmata semasa melakukan proses tersebut. Radi juga begitu. Baginya inilah dikatakan pengalaman yang amat berharga dalam menilai erti kelahiran dan pengorbanan seorang ibu yang sanggup bertarung nyawa dan menempuh banyak cabaran dalam melahirkan anak.

Meskipun kak Sya telah kematian anaknya, namun dia tetap harus menjalankan tempoh berpantang sehingga mencecah tahap tempoh berpantang yang biasa dilakukan bagi golongan ibu selepas bersalin. Banyak pengalaman yang ditimba oleh Radi mengenai adat berpantang tersebut. Antarannya proses bertangas, memakai param, berpilis, bertapel, berbengkung dan bertasak. Radi juga sempat mempelajari cara membuat jadam dan cara pemakaiannya. Jadam merupakan salah satu proses yang biasa dilakukan oleh kaum ibu yang sedang berpantang. Ia bertujuan untuk mengecutkan perut serta membuang angin di dalam badan sewaktu berbarut. Antara ramuan yang digunakan seperti segenggam jadam yang diperbuat dari kayu gaharu atau lidah buaya, Halia (Zingiber officinale) sebesar ibu jari, Isi kunyit terus sebesar ibu jari, 3 ulas bawang putih (Allium sativum), Asam jawa (Tamarindus indica) sebesar bola ping-pong dan secawan air kosong. Radi juga sempat membantu mak cik Ros menyediakan bahan dan proses membuat jadam. Ternyata ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dibuat kerana cara penyediannya terlalu ringkas. Contohnya semua bahan utama seperti halia, isi kunyit dan bawang putih digaul bersama setelah ditumbuk selumat-lumatnya kemudian ia digaulkan dengan jadam disamping memasukkan sedikit perahan air asam jawa ke dalam bahan- bahan utama tadi dan proses terakhir ialah menjeram bahan- bahan yang bercampur tadi di atas api yang perlahan sehingga ia menggelegak. Untuk pertama kali dalam hidupnya Radi juga cuba membantu memakaikan jadam ke atas perut kak Sya. Jadam itu dipakaikan mengikut caranya yang tersendiri iaitu ia disapu pada seluruh perut sehingga ke bahagian ari- ari. Seterusnya ia ditutup dengan kain kecil dan diikat kemas dengan menggunakan bengkung.

Selain itu, Radi sempat memerhatikan proses mengurut yang telah dilakukan oleh Mak Jah iaitu tukang urut yang begitu terpengaruh di kampung Pulau Rusa. Radi memerhati dengan penuh asyik pergerakan tangan tukang urut itu dalam mencari urat- urat disetiap otot tubuh kak Sya. Dalam pada itu juga kak Sya sempat menceritakan tentang nasib yang menimpanya. Begitu jelas naluri wanita sememangnya terlalu mudah tersentuh. Mak Jah turut menitiskan air mata setelah mendengar kisah duka kak Sya itu dan sempat menasihatkan kak Sya agar terus bersabar dengan sesuatu takdir dari Allah.

Kini sudah hampir tiga minggu arwah Muhammad Syazani Aqwa telah kembali ke rahmatullah, keadaan kak Sya pula semakin pulih. Cuma emosinya sering sahaja terganggu talkala mendengar tangisan dan melihat bayi. Adakalanya kak Sya mudah tersentuh andai ada orang bertanyakan tentang kematian anaknya itu. Apa yang paling merisaukan keluarganya, kadang- kadang mereka melihat kak Sya selalu memegang dan tidur bersama bantal kecil arwah anaknya itu.

“Along, kenapa Along selalu tidur bersama bantal tu?”.

Sambil tersenyum sebak kak Sya menjelaskan kepada Radi bahawa dia tidak perlu risau dengan tabiatnya itu. Ia berbuat sedemikian kerana terlalu rindu akan anaknya dan bukan kerana dia gila meroyan.

“Radi, Along masih waras dan mampu berfikir antara baik dengan yang buruk. Tapi buat masa ni bagilah Along masa untuk melupakan segala yang telah berlaku. insyaAllah Along tidak ada apa- apa. Jangan risau ye dik”. Lantas kak Sya memeluk erat tubuh Radi dengan penuh kasih sayang antara kakak dan adik. Kak Sya cukup terharu dengan layanan dan pengorbanan Radi terhadap dirinya sepanjang tempoh kegetiran itu.

Esok merupakan hari kemenangan besar buat penganut agama Islam setelah bertungkus lumus mengerjakan rukun Islam yang ketiga. Semua umat Islam akan menyambut ketibaan Syawal yang mulia. Radi, mak cik Ros, abg Hazri dan adik- beradik kak Sya yang lain begitu sibuk menyediakan juadah santapan pada pagi Syawal keesokkannya. Namun yang jelas dan nyata, erti ketibaan Syawal pada kali ini tidak semeriah seperti Syawal- Syawal yang lalu buat kak Sya. Pemergian Allahyarham Muhammad Syazani Aqwa meninggalkan seribu satu kenangan yang indah buat mereka semua terutama buat kak Sya dan abg Hazri...........

2 ulasan:

hafizdnsh berkata...

Wah nok...pandai ko adaptasikan crite nie...mcm novel alaf 21 la...jgn lupe ble jadi novelist 6t jgn lupe kasi kat aku novel free every month...
Nok kan tahu mak minat gler2 bace novel...tp tgk publisher plak...kuakuakua....

tieka berkata...

JGNLAH sesorg diantara kita berdoa mengharapkan kematian krn kesusahan yang di alami,
ttp jika terpaksa berdoalah..
" YA Allah, hidupkanlah aku bila hidup itu baik bagiku,& matikanlah akU BILA mati itu baik bagi ku"...
WAALAHUA'LAM...
^_^...