Jumaat, 10 Oktober 2008

BERTUNGKU
Amalan bertungku merupakan amalan tradisional yang penting ketika berpantang. Tidak lengkap berpantang sekiranya tidak .Biasanya tungku diperbuat daripada besi sebesar botol 500ml dan beratnya kira-kira 1.5kg. Bertungku juga tidak semestinya menggunakan besi kerana batu sungai atau anak lesung juga boleh digunakan.Ini kerana kesan bertungku bukan terletak kepada beratnya tungku tetapi tahap kepanasannya yang dapat meresap hingga ke dalam.Besi atau batu tungku perlu dipanaskan terlebih dahulu selama 1/2 - 1 jam di atas api yang sederhana. Kemudian tungku perlu dibalut dengan kain cita yang telah dilapik dengan daun mengkudu yang dikenali sebagai Morinda citrifolia.Jika daun Morinda citrifolia tiada maka daun sirih iaitu nama sainsnya Piper betel atau daun lengkuas juga boleh digunakan.Kesan panas dari tungku akan meresap ke dalam daun dan sekaligus bertujuan merawat bahagian badan semasa proses bertungku.Proses bertungku dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar pangkal paha, berhampiran ari-ari/ bawah pusat dan di atas perut (bawah buah dada).Untuk kesan tungku yang lebih baik tapak kaki serta tumit juga perlu ditungku.Amalan bertungku ini penting memandangkan ia dapat menghangatkan badan ibu, membuang angin, mengecutkan urat yang kembang selepas bersalin di samping memperbetulkan serta melancarkan perjalanan darah.Biasanya darah nifas mengalir lebih lancar selepas bertungku.Justeru, bertungku adakala diteruskan hingga keluar darah terakhir berwarna seakan-akan putih keperangan atau dipanggil darah meroyan. Jika ibu rajin bertungku bolehlah diteruskan hingga habis pantang.

PETUA BERPANTANG SELEPAS BERSALIN

BERPANTANG TRADISIONAL MELAYU

Bagi ibu-ibu muda tempoh berpantang merupakan satu pengalaman baru. Badan harus dirawat agar bila tamat tempoh berpantang, anda tetap kelihatan segar semula seperti sebelumnya.Berpantang merupakan tempoh waktu membosankan bagi setiap wanita selepas bersalin kerana menunggu selama 44 hari ibarat bertahun lamanya. Namun bagi mereka yang tahu akan rahsia berpantang, saat ini dipergunakan semaksimanya untuk mengembalikan kecantikan dan kesihatan diri luar dan dalam.


RAWATAN TRADISIONAL

Kebanyakan wanita muda masih mengutamakan cara perubatan tradisional serta petua daripada orang tua-tua bagi menjaga kesihatan diri sewaktu mengandung dan berpantang.Biasanya amalan berpantang cara orang dulu-dulu dilakukan dengan bimbingan orang yang lebih tua. Kaedahnya pelbagai, bergantung kepada keturunan dan budaya seseorang.Misalnya, cara wanita Kelantan mungkin berbeza dengan orang utara. Begitu juga ibu berketurunan Jawa, Arab, Cina atau India berbeza petua dan rahsia yang menjadi amalan mereka.Walau apa jua cara yang digunakan, tujuannya tetap sama iaitu ingin menyembuhkan luka dan kesakitan ibu ketika bersalin dan selepas bersalin.Banyak perkara misteri yang masih belum terhurai dan terjawab tentang rawatan selepas bersalin secara tradisi Melayu warisan pusaka. Apa lagi kalau hendak dihuraikan secara saintifik kerana masih belum ada penyelidikan dijalankan untuk membuktikan kebaikannya terhadap kaum wanita.Namun kita sedia maklum akan khasiat herba dalam mengubati beberapa penyakit seperti akar Tongkat Ali atau nama sainsnya Eurycoma longfolia, Bunga Pakma dikenali juga sebagai Rafflesia, Kacip Fatimah iaitu Labisia pumila dan lain-lain lagi.Rawatan dalam berpantang boleh dikategorikan kepada beberapa perkara dan menggunakan ramuan-ramuan yang tertentu.Antara rawatan tersebut adalah bertungku, berurut, mandi herba dan mandi lulur, bertangas, memakai bengkung, berpilis, bertasak, minum air akar kayu dan jamu serta berpantang makan dan minum.