Rabu, 9 Februari 2011


Alhamdulillah, sajak "Cinta" telah tersiar di Harian Metro (Selasa 1 Februari 2011). Semoga dengan penerbitan itu, akan menambahkan semangat aku untuk terus berkarya menghasilkan puisi-puisi indah...Terima kasih kepada editor Harian Metro dan sahabat-sahabat yang banyak memberi sokongan...




CINTA…

Cinta adalah aksara mudah ditutur,
Senang dilakar namun sukar diselami.

Cinta adalah sebuah nikmat,
Kerana cinta, hati rawan cerlang terhibur.

Cinta adalah sebuah ikatan,
Kerana cinta, penyatu hati dua insan.

Cinta adalah segunung penawar,
Kerana cinta, penyembuh racun berbisa.

Cinta adalah sebuah batasan,
Kerana cinta, mawar berduri subur menguntum.

Cinta adalah sebuah rembulan,
Kerana cinta, penyuluh epilog kelam.

Cinta adalah sebuah mimpi,
Kerana cinta, aku tersedar dari lamunan fantasi.

Cinta adalah sebuah bahtera,
Kerana cinta, armada di lautan jauh belayar.

Cinta adalah sejuta kenistaan,
Kerana cinta, insan yang lemah rapuh dalam dakapan nafsu.

Cinta adalah sebidang kecelakaan,
Kerana cinta, iman bertakhta lebur berderai.

Cinta adalah seluas kekufuran,
Kerana cinta, nilai agama terbias di dada.

Cinta adalah selebar kesengsaraan,
Kerana cinta, kudrat utuh layu terkulai.

Cinta adalah seribu kesakitan,
Kerana cinta, hati berbunga kejam terbunuh.

Cinta adalah selaut dusta
Kerana cinta, sukma gemersik pincang ternoda

Cinta adalah cinta, kasih, sayang, dusta, sengsara dan lara,
Kerana cinta, aku hidup bersandar nafsu,
Kerana cinta, aku merintih ke jalan yang benar dan,
Kerana cinta, aku mengenali Tuhan.

(Telah diterbitkan oleh akhbar Harian Metro, Selasa 1 Feb 2011)



Isnin,  10.16 PM, 25.Octber.2010,
Kampus UKM Bangi, Selangor